SEBUAH Pusat Kuarantin Pesakit Covid-19 (PKRC) khusus untuk masyarakat Orang Asli dibuka di Sekolah Kebangsaan Penderas, Kuala Krau, Pahang.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, PKRC itu mampu menempatkan kira-kira 500 pesakit di asrama sekolah dan kelas yang diubahsuai.
“PKRC di sekolah ini mula dibuka sejak semalam dan kini menempatkan 184 pesakit Covid-19 Orang Asli sekitar Kuala Krau.
“Kita boleh menempatkan 200 pesakit di asrama dan 300 pesakit lagi akan tempatkan dalam kelas yang diubah suai mengikut keperluan semasa dan situasi Covid-19 dalam kalangan masyarakat Orang Asli di kawasan sini,” katanya selepas meninjau PKRC Sekolah Kebangsaan (SK) Penderas, Kuala Krau hari ini.
Mahdzir berkata, pembukaan pusat kuarantin khas untuk Orang Asli itu mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan dikelolakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan JAKOA.
Sejumlah 1,133 masyarakat Orang Asli di 10 perkampungan sekitar Kuala Krau dijangkiti Covid-19 dengan merekodkan empat kematian.
Perkampungan Orang Asli Kampung Penderas dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 10 hingga 25 September selepas 120 penduduk Orang Asli dijangkiti wabak itu.
Mahdzir berkata, sejumlah 134,494 masyarakat Orang Asli sudah menerima vaksin dan daripada jumlah itu, 77,970 orang telah menerima dos pertama manakala 50,734 telah lengkap kedua-dua dos.
“Selain itu, seramai 5,790 individu Orang Asli telah menerima vaksin jenis CanSino. Baki yang masih belum divaksin sedang diusahakan untuk menerima vaksin secepat mungkin,” katanya. – Malaysiapost

