
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menimbang semula pembukaan sekolah mengikut daerah secara berperingkat bukan mengikut negeri berdasarkan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata mengambil kira keadaan dalam sesebuah negeri akan ada daerah yang kadar jangkitan Covid-19 rendah dan terkawal.
“Jadi KPM dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh membuka dahulu sekolah di daerah tersebut.
“Bagi daerah masih tinggi kadar jangkitan harian, sekolah tidak boleh dibuka dahulu walaupun berada di negeri fasa tiga atau empat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anuar berkata selain itu kerajaan juga boleh mempertimbang untuk membuka sekolah yang pelajarnya telah menerima vaksin bagi meningkatkan keyakinan ibu bapa.
“Sebenarnya model pembukaan sekolah secara bergilir mingguan diperkenalkan akan mewujudkan tiga kumpulan pelajar di dalam sesebuah kelas iaitu kumpulan A, kumpulan B dan kumpulan C (kumpulan C adalah murid-murid yang tidak dibenarkan oleh ibubapa untuk ke sekolah).
“Andainya satu kelas 36 orang murid, dipecahkan kepada kumpulan A dan kumpulan B maka setiap kumpulan akan ada 18 murid.
“Tapi pasti ada sebahagian dari murid kumpulan A dan sebahagian murid kumpulan B yang tidak akan dibenarkan oleh ibubapa ke sekolah atas sebab bimbangkan keselamatan anak-anak. Kumpulan ini akan membentuk kumpulan C iaitu kumpulan ‘cicir’,” katanya lagi.
Beliau berkata, kumpulan ‘cicir’ adalah mereka yang langsung tidak hadir ke sekolah, disebabkan itu pelajar berkenaan tidak dapat mengikuti pembelajaran bersemuka di sekolah.
Tambah Anuar, pada masa yang sama pelajar juga tidak dapat mengikuti sesi sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermodul pada minggu seterusnya.
“Ini akan menyebabkan murid-murid kumpulan C akan tercicir pembelajaran mereka disebabkan dasar penggiliran yang dilaksanakan oleh KPM,” katanya.
Pada 12 September lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan KPM akan melaksanakan sistem penggiliran bagi kehadiran murid ke sekolah semasa sesi persekolahan dibuka mulai 3 Oktober depan.
Katanya, sistem penggiliran tersebut melibatkan hanya 50 peratus daripada enrolmen keseluruhan.
Dr Radzi berkata, dalam sistem penggiliran yang akan dilaksanakan, kumpulan yang gilirannya tidak perlu hadir ke sekolah akan menjalani sesi PdPR. – Malaysiapost
