Pantun ‘katak lompat’ Azalina buat dewan gamat

0
2

SERANGKAP pantun daripada Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said menggamatkan sidang Dewan Rakyat hari ini apabila menyentuh isu ‘katak lompat’.

“Lompat si katak lompat, lompat di dalam perigi; Lompat jangan tak lompat, nanti tak sempat menjadi,” demikian serangkap pantun yang dibacanya dalam sidang Parlimen.

Beliau dengan tegas memohon Rang Undang-Undang (RUU) Akta Lompat Parti segera dibentangkan di Dewan Rakyat.

Katanya, akta tersebut sewajarnya diwujudkan secepat mungkin supaya perbuatan ‘katak lompat’ atau lompat parti dapat memakmurkan institusi Parlimen pada masa akan datang.

Azalina juga memberikan contoh dalam Islam, apabila seseorang isteri itu dicerai, perlu menjalani iddah selepas gugur talak.

“Sebab itu dalam Islam, bila cerai kena ada masa iddah lepas gugur talak, tiga bulan. Dia kena rilek (tenang).. fikir nak cerai ke tak nak cerai, nak sambung ke tak nak sambung.

“Jadi, apa yang saya cadangkan di sini, RUU Pemecatan Ahli Parlimen ini biarlah referendum dibuat kepada rakyat untuk menentukan sama ada wakil rakyat yang lompat itu perlu diganti atau tidak,” katanya dalam sesi Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Parlimen, hari ini.

Awal bulan lalu, Azalina menghantar notis cadangan usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021′ kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Beliau yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dilaporkan berkata usul itu adalah selari dengan inisiatif anti lompat parti yang sedang diusahakan kerajaan dan secara tidak langsung mewujudkan kebersamaan dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here