Keputusan buka sekolah ambil kira kebajikan murid – Radzi

0
2

MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menegaskan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka dibuat selepas mengambil kira aspek kebajikan lima juta murid di seluruh negara.

Beliau berkata, ia berikutan keseluruhan murid datang daripada pelbagai latar belakang, selain sudah renggang dengan institusi sekolah secara bersemuka bagi tempoh yang agak lama sejak Mei lalu.

Mohd Radzi berkata, keadaan itu dibimbangi akan memberi gambaran kepada murid mereka tidak akan kembali menjalani sesi persekolahan secara bersemuka.

Selain itu, katanya, pendekatan membuka sesi persekolahan secara bersemuka dan berperingkat juga sekurang-kurangnya memberi gambaran baharu selari peralihan ke fasa endemik seperti dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia Malaysia (KKM).

“Kita boleh memilih tidak membuka sekolah dan ia jalan paling mudah, namun hakikatnya kita ada lima juta murid daripada pelbagai latar belakang dan renggang dengan sekolah untuk tempoh yang panjang mulai Mei lalu.

“Katakanlah jika kita ambil keputusan untuk menutup sekolah sehingga tahun depan, maka dalam pemikiran mereka (murid) persekolahan bersemuka tak berlangsung hingga 2022.

“Kita secara umumnya akan dapati murid melihat mereka tidak akan kembali bersekolah secara bersemuka selepas tidak boleh hadir ke sekolah mulai Mei lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Wisma Pertahanan, hari ini.

Pada 3 September lalu, Mohd Radzi mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober ini secara berperingkat.

Namun tidak akan membabitkan negeri-negeri yang masih berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here