Covid-19: MARA peruntukan RM324.3 juta bantu PKS

0
2

SEBANYAK RM324.3 juta diperuntukkan MARA bagi membantu usahawan yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata MARA juga telah meluluskan pembiayaan perniagaan berjumlah RM311.36 juta kepada 2,966 orang usahawan di bawah tiga skim.

“Iaitu pertama, Skim Pembiayaan Pengukuhan Perniagaan (SPAK) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro bumiputera yang terjejas akibat Covid-19 untuk meneruskan kelangsungan perniagaan dengan nilai pembiayaan maksimum sebanyak RM10,000.

“Melalui program ini, seramai 1,601 usahawan telah mendapat manfaat dengan implikasi kewangan sebanyak RM13.26 juta.

“Kedua, Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPIM PENJANA) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), pula menawarkan bantuan pembiayaan berbentuk pinjaman modal kerja untuk membantu usahawan bumiputera yang terjejas termasuk pengusaha kolej latihan bumiputera,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, seramai 133 usahawan telah menerima pembiayaan SPIM PENJANA PKS dengan had pembiayaan sehingga RM1 juta melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM100 juta.

“Dan 24 IPTS menerima manfaat di bawah SPIM PENJANA IPTS dengan had pembiayaan sehingga RM50 juta dengan implikasi kewangan sebanyak RM154.3 juta,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P) di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) antara yang ditawarkan untuk membantu PKS mikro bumiputera yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi melonjak kembali perniagaan mereka dengan nilai pembiayaan maksimum sebanyak RM50,000.

“Seramai 1,208 usahawan telah mendapat manfaat dengan implikasi kewangan sebanyak RM43.8 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Umno Jerantut) mengenai kaedah yang digunakan untuk mengedarkan peruntukan RM305.26 juta oleh MARA kepada usahawan-usahawan PKS di luar bandar dan nyatakan bantuan-bantuan lain yang diberi kepada usahawan yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Selain itu, tambahnya, di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), MARA turut memperkenalkan inisiatif penangguhan moratorium atau penjadualan semula bayaran balik pembiayaan perniagaan MARA.

“Inisiatif ini bertujuan untuk membantu usahawan-usahawan MARA dengan memberi penangguhan bayaran balik pinjaman MARA selama tiga bulan selepas kelulusan diberikan atau penjadualan semula bayaran balik pembiayaan perniagaan MARA dengan memanjangkan tempoh pembiayaan sehingga 36 bulan,” katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, MARA juga menawarkan pengecualian bayaran sewa kepada semua penyewa premis perniagaan MARA bermula dari bulan Julai hingga September 2021.

“Termasuk pemberian diskaun sewa sebanyak 30% bagi bulan Oktober hingga Disember 2021,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here