TINDAKAN Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat (TYPDR) Datuk Mohd Rashid Hasnon mengarahkan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer keluar dari Dewan Rakyat hari ini, adalah wajar.
Setiausaha Sulit TYDPR, Zaihan Zainal berkata, Rayer yang merupakan Ahli Parlimen DAP yang mengeluarkan perkataan “Timbalan Speaker memalukan” adalah satu kesalahan di bawah Peraturan Isu-isu Ucapan.
Katanya, Mohd Rashid telah melaksanakan segala tugasan yang diturunkan kuasa kepadanya berdasarkan segala Peraturan Mesyuarat yang telah diperuntukkan.
“Peraturan 36.4 jelas mengatakan bahawa ahli mesyuarat iaitu Ahli Parlimen adalah tidak dibenarkan mengeluarkan perkataan kurang sopan, 36.4 pula menyatakan bahawa Ahli Parlimen tidak dibenarkan menyebut nama ahli yang lain.
“Dan Peraturan 36.6 pula seseorang ahli Parlimen tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat kepada ahli-ahli Parlimen yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Rayer telah membangkitkan isu mengenai mengapa 15 usul yang dibawa untuk mengugurkan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat (YDPR) ditolak.
“Sebenarnya, Datuk Rashid Hasnon selaku satu-satunya Timbalan Yang Di Pertua Dewan Rakyat diminta oleh YPDR untuk menjawabnya kerana isu tersebut melibatkan diri YPDR sendiri.
“Maka, tanpa ada pilihan lain Datuk Rashid wajar menjawab usul-usul tersebut.
“Justeru, Datuk Rashid telah pun menjawab semua usul-usul tersebut secara individu kepada setiap Ahli Parlimen yang menghantar usul tersebut,” katanya.
Mengulas mengenainya, Zaihan menjelaskan, berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat (Standing Orders of Dewan Rakyat) di bawah Cara-cara Mengeluarkan Pemberitahu, Peraturan 27.5 menyatakan dengan jelas bahawa segala usul yang menyalahi peraturan hanya perlu diberikan pemberitahuan kepada Ahli Parlimen yang mengusulnya sahaja.
“Adalah tiada keperluan untuk Datuk Rashid membuat pemakluman kepada umum termasuk di Dewan Rakyat.
“Oleh yg demikian, perbuatan sesetengah Ahli Parlimen khususnya Ahli Parlimen Jelutong adalah tidak bertamadun kerana tidak hadam betul-betul peraturan mesyuarat yang menjadi asas kepada perjalanan sidang Dewan Rakyat,” katanya. – Malaysiapost

