SEBANYAK 61 lagi kes jangkitan Covid-19 dikesan daripada hasil penjujukan genomik UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
Menerusi perkongsian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Facebook memaklumkan daripada jumlah itu, varian membimbangkan (VOC) baharu yang direkodkan daripada 31 Ogos 2021 hingga 13 September 2021, iaitu 59 kes varian Delta dan dua kes adalah varian Beta.
“Secara keseluruhannya, terdapat 1,385 kes Covid-19 dengan VOC dan VOI telah dikesan di negara ini.
“Iaitu 1,365 kes (98.6%) adalah VOC dengan 82.3% kes adalah varian Delta. Sarawak mencatatkan kes tertinggi varian Delta dengan 696 kes atau 91.9% daripada kes yang disampel.
“Malah, 440 kes (38.6%) daripada 1,140 kes varian Delta adalah daripada kes sporadik – saringan kontak rapat,” menerusi KKM.
Infografik bilangan kes positif Covid-19 Dengan VOC dan VOI mengikut negeri sehingga semalam menunjukkan Selangor mencatatkan 20 kes varian Delta.
Selain, Johor dengan 14 kes varian Delta, Kuala Lumpur (enam kes varian Delta), Sabah (17 kes varian Delta, dua kes varian Beta), dan masing-masing satu varian Delta di Melaka dan Negeri Sembilan. – Malaysiapost

