BANK-BANK di Malaysia berada dalam keadaan baik dengan penampan modal yang kukuh malah mencatat keuntungan sepanjang negara berhadapan pandemik Covid-19
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak bimbang terhadap prestasi bank-bank di Malaysia kerana semuanya menunjukkan prestasi keseluruhan lebih baik tahun ini berbanding tahun sebelumnya dari segi keuntungan.
“Bank-bank Malaysia baru-baru ini mengumumkan keuntungan mereka. Mereka mempunyai penampan modal yang kuat.
“Sebenarnya menjadi cabaran buat saya untuk menerangkan kekuatan bank kepada orang ramai kerana syarikat-syarikat sedang bergelut dan kami mahu bank untuk lebih banyak membantu.
“Bank sebenarnya telah mengumumkan keuntungan yang lebih tinggi daripada tahun lalu, misalnya. Ini menunjukkan kekuatan bank Malaysia dan ia penting agar bank dapat memainkan peranan utama dalam pemulihan ekonomi negara,” katanya dalam temu bual stesen televisyen antarabangsa, CNBC, hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, sokongan kepada ekonomi tetap perlu diteruskan selepas ini meskipun ketika ekonomi sudah pulih dan Malaysia tidak boleh tarik sokongan terlalu awal.
“Kita belajar dari masa lalu, terutama yang terjadi pada krisis 2008 dan 2009, krisis kewangan global.
“Kita dapat melihat beberapa negara benar-benar menarik sokongan terlalu awal dan ini memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi mereka.
“Penting pada tahun 2022 untuk mempunyai tahun yang mengembangkan fiskal untuk Malaysia, oleh sebab itulah kita pergi ke Parlimen,” katanya. – Malaysiapost

