
WARGA asing yang menyerbu Pejabat Pos Jalan Stesen, Klang yang tular di media sosial hari ini, didapati untuk mengambil pasport mereka yang sudah siap.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli yang berkata, kejadian berlaku sekitar 8.30 pagi apabila insiden pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) itu dilaporkan pengurus pejabat pos terbabit.
Shamsul Amar berkata, berdasarkan siasatan awal terdapat 130 warga Bangladesh hadir ke pejabat pos berkenaan bagi mengambil pasport mereka.
“Ia berikutan, pihak kedutaan Bangladesh melantik Pos Malaysia Cawangan Klang sebagai ejen untuk membolehkan warganegara mereka mengambil pasport diperbaharui.
“Sepasukan pematuhan SOP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kemudian ke lokasi dan meredakan keadaan tidak terkawal itu.
“Kita akan menempatkan pasukan itu di Pos Malaysia cawangan itu bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi 14 saat dirakam orang awam yang memaparkan kebanjiran warga asing sedang beratur secara rapat di pejabat pos berkenaan.
Video itu memaparkan kakitangan pejabat pos berusaha mengawal situasi berkenaan yang mengarahkan mereka beratur dengan jarak satu meter. – Malaysiapost
