SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada unsur rasuah dalam penyelesaian hutang berjuta ringgit melibatkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
Perkara itu diberitahu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa SPRM mengesahkan tiada unsur rasuah dalam pembayaran hutang Rina dengan sebuah syarikat penerbitan berpangkalan di Paris.
Ismail Sabri berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
Yeoh meminta Perdana Menteri menyatakan status siasatan SPRM terhadap penyelesaian hutang itu, terutama berhubung sumber wang berkenaan.
Julai lalu, lima Ahli Parlimen pembangkang telah menggesa SPRM mendedahkan hasil siasatan itu dan mempersoalkan bagaimana beliau mengumpul kekayaannya serta melunaskan hutangnya dalam tempoh singkat.
Mereka berkata, ini tidak mungkin dilaksanakan berdasarkan senarai aset beliau yang diisytiharkan lebih setahun lalu.
Satu laporan dibuat kepada SPRM berhubung sumber dana itu yang digunakan Ahli Parlimen Titiwangsa itu untuk melangsaikan hutangnya pada Februari lalu.
Rina yang merupakan Ketua Wanita Bersatu, mendapat notis bankrap atas hutangnya kepada syarikat penerbitan Perancis, Novovision berjumlah RM1,340,642.02 setakat 17 Nov 2020.
Dilaporkan, Rina yang juga seorang daripada Pengarah Eurofine (M) Sdn Bhd, Fine Mobile Network Sdn Bhd dan Fine TV Network Sdn Bhd yang sudah ditutup kini, membeli beberapa program komedi dan dokumentari dari syarikat terbabit.
Beliau dan seorang lagi pengarah syarikat itu, Ida Rahayu Md Noor memeterai perjanjian jaminan pada Mei 2014 dengan Sarl Novovision akan menanggung semua liabiliti tiga syarikat itu.
Bagaimanapun, tiga syarikat itu menamatkan operasi antara Disember 2013 hingga Ogos 2015. – Malaysiapost

