Nilam Oshman
KEMENTERIAN Pengajian Tinggi hari ini mengumumkan kemasukan pelajar IPT lengkap vaksin Covid-19, secara berperingkat bermula esok.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira input sesi libat urus bersama-sama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Ia termasuk perbincangan bersama pengurusan IPT yang merangkumi Naib-naib Canselor, Timbalan-timbalan Naib Canselor, dan wakil-wakil persatuan IPTS; serta Majlis Perwakilan Pelajar dan wakil Kesatuan/Persatuan Pelajar,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata, sebahagian besar daripada 1.2 juta pelajar IPT diseluruh negara menjalani Pengajaran dan Pembelajaran secara dalam talian melebihi tiga semester berturut-turut.
“Ini memberikan cabaran yang besar kepada warga IPT terutamanya dari sudut Psikologi dan ketahanan mental dalam menjalani proses pendidikan di Malaysia.
“Justeru, usaha untuk memastikan kelas harian IPT disamping meletakkan keselamatan dan kebajikan pelajar sebagai keutamaan jua. Sukacita saya mengumumkan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi akan melaksanakan kemasukan pelajar secara berperingkat seperti mana diluluskan oleh MKN,” katanya.
Noraini berkata, proses ini akan bermula berperingkat bermula 15 Oktober ini.
Katanya, kemasukan pelajar divaksin ke IPT ini melibatkan semua kategori pelajar dan PPN di mana keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.
“Selain itu, proses kemasukan pelajar ini akan menggunakan SOP Sektor Pendidikan Tinggi, Pengoperasian IPT.
” Keberadaan warga IPT yang telah lengkap divaksin akan membentuk komuniti sosial yang selamat serta mewujudkan persekitaran Fasa 4 PPN di dalam kampus. Jadinya, SOP yang ketat perlu diamalkan bagi menguruskan pergerakan keluar dan masuk,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa hanya pelajar, staf akademik dan staf bukan akademik yang telah mendapat suntikan dos vaksin lengkap dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin sahaja yang dibenarkan masuk ke kampus.
“Perkara ini adalah tertakluk kepada kapasiti IPT, dengan mematuhi SOP yang ditetapkan. Ini merupakan satu langkah bagi membentuk persekitaran yang selamat dan herd immunity di kampus.
“Bagi pelajar yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan, mereka diminta untuk menghubungi IPT masing-masing untuk penyelarasan,” katanya Malaysiapost

