Kadar pengangguran di Malaysia menurun 0.3% – Saravanan

0
2

[Parlimen] KADAR pengangguran rakyat Malaysia pada suku kedua tahun ini menurun sebanyak 0.3 peratus iaitu daripada 5.1 peratus kepada 4.8 peratus berbanding suku kedua tahun lalu, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Katanya, berdasarkan data terkini daripada semakan Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran rakyat Malaysia pada suku kedua tahun ini menurun 0.3 peratus berbanding tahun lalu.

“Melihat kedudukan pengangguran di peringkat negeri pada suku kedua 2021, Labuan dan Sabah mencatatkan kadar pengangguran lebih 8 peratus iaitu masing masing pada kadar 8.8 peratus dan 8.7 peratus.

“Ini menunjukkan daripada 100 tenaga buruh di negeri ini, sembilan orang daripadanya adalah penganggur,” katanya.

Beliau berkata sedemikian bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) dalam sesi sidang Dewan Rakyat hari ini.

Saravanan berkata, bagi tempoh yang sama, Perlis mencatatkan kadar pengangguran 5.3 peratus manakala enam negeri mencatatkan kadar pengangguran lebih 4.0 peratus iaitu Kelantan 4.8 peratus, Kuala Lumpur 4.7 peratus, Perak, Selangor dan Sarawak masing-masing 4.4 peratus serta Terengganu 4.2 peratus.

“Enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan mencatatkan kadar pengangguran antara 3.5 peratus ke 3.9 peratus, manakala kadar pengangguran terendah adalah di Putrajaya pada kadar 1.7 peratus.

“Ini dapat dikaitkan dengan pembabitan tinggi penduduk kawasan ini yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Secara keseluruhan, beliau menjelaskan tujuh negeri mencatatkan kadar pengangguran di bawah 4.0 peratus yang menggambarkan ekonomi negeri itu masih beroperasi dengan guna tenaga penuh.

“Pada masa yang sama, penurunan bilangan penganggur direkodkan di tujuh negeri iaitu Sabah, Perak, Sarawak, Kedah, Johor, Negeri Sembilan dan Putrajaya.

“Walaupun Selangor mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan penduduk bekerja, bilangan penganggur di negeri ini turut meningkat sebanyak 2.3 peratus iaitu 3,700 orang daripada 161,300 orang kepada 165,000 orang,” katanya.

Sementara, beliau berkata, Kuala Lumpur pula mencatatkan 43,600 penganggur iaitu pertambahan seramai 10,400 penganggur berbanding tahun sebelumnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here