Tubuh pasukan bertindak khas Lembah Klang tepat – Muhyiddin

0
1

TINDAKAN kerajaan untuk menubuhkan pasukan bertindak khas atau ‘Greater Klang Valley Special Taskforce’ telah berjaya mengawal penularan Covid-19 dan memperkukuhkan kesiapsiagaan sistem kesihatan. 

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata operasi lonjakan kapasiti di Lembah Klang bagi mempercepatkan proses vaksinasi juga telah membuahkan hasil sehingga nilai-nilai ambang bagi peralihan ke fasa dua dapat dicapai. 

“Sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), saya akan memastikan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaaan dipergiatkan lagi bagi memastikan semua yang layak akan menerima suntikan vaksin,” katanya di Facebook hari ini. 

Muhyiddin turut memuat naik video di Facebook yang memaparkan beliau melakukan tinjauan di pasaraya AEON, Setiawangsa, Kuala Lumpur hari ini. 

“Hari ini saya sempat berkunjung ke AEON AU2 Setiawangsa di Taman Keramat bagi melihat sendiri pembukaan sektor ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara. 

“Sejak Jumaat lalu, Negeri Selangor,  Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sudah memasuki Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara dan rakyat di negeri tersebut kini dapat menikmati lebih banyak kelonggaran terutamanya bagi akitiviti ekonomi dan sosial. 

“Dalam kunjungan saya ke kompleks beli-belah ini, para peniaga berkongsi situasi “on the ground” setelah mula beroperasi semula,” katanya. 

Menurut Muhyiddin, rata-rata peniaga menzahirkan rasa optimistik bahawa perniagaan mereka akan beransur pulih dan memastikan peniaga serta pelanggan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Ada yang mengadu kepada saya tentang cabaran perniagaan yang dihadapi sepanjang tempoh “lockdown” termasuk kerugian yang ditanggung, namun Alhamdulllah, rata-rata peniaga menghargai bantuan-bantuan tunai yang telah disalurkan Kerajaan sejak Mac 2020 seperti Bantuan Prihatin Nasional dan Bantuan Khas Covid baru baru ini. 

“Jujur saya kongsikan, saya amat kagum melihat kecekalan para peniaga yang tabah meneruskan usaha mereka mencari rezeki yang halal,” katanya. 

Mengulas mengenainya, Muhyiddin berkata, kerajaan telah membelanjakan lebih RM25 billion untuk bantuan tunai kepada rakyat yang telah memanfaatkan lebih 10.6 juta orang rakyat Malaysia. 

“Pada separuh kedua 2021, sebanyak RM 10 billion bantuan tunai telah diperuntukkan melalui PEMULIH.

“Sememangnya sebagai sebuah kerajaan prihatin, kita tidak pernah putus- putus cuba membantu rakyat meringankan beban yang ditanggung ketika pandemik ini.

“Sememangnya pengurusan wabak Covid-19 ini memerlukan bukan sahaja penglibatan secara menyeluruh oleh Kerajaan (Whole of Government) malah masyarakat (Whole of Society) juga amat penting,” katanya. 

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut  berkesempatan beramah mesra dengan para pengunjung termasuk anak-anak kecil yang sudah mula menikmati cuti sekolah mereka.

Sementara itu, Muhyiddin memberitahu beliau akan mempengerusikan mesyuarat MPN pada Isnin depan dan akan memberi fokus kepada pembukaan sekolah dan institusi pengajian tinggi secara teratur dan selamat. 

“Insya-Allah, dengan kerjasama orang ramai, kita dapat menangani pandemik Covid-19 ini sebagai satu Keluarga Malaysia.

“Saya ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama membantu menyokong dan membeli dari peniaga-peniaga kecil supaya mereka dapat  bangkit kembali membina perniagaan dan menjana pendapatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here