Rundingan dengan kerajaan, PH nafi ketepikan parti pembangkang lain

0
1

DAKWAAN kononnya Pakatan Harapan (PH) mengenepikan parti pembangkang lain dalam perjanjian pembekalan dan keyakinan (CSA) dengan kerajaan, tidak berasas.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata pimpinan tertinggi PH telah melakukan perbincangan dengan semua pimpinan parti pembangkang lain termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkenaan proses rundingan dengan kerajaan.

“Malah petang semalam satu taklimat khas telah disampaikan pimpinan tertinggi PH kepada Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkenaan isi kandungan Memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik tersebut.

“Wakil Parti Warisan Sabah (Warisan) juga dijemput untuk taklimat tersebut namun mereka tidak hadir,” katanya menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Facebooknya hari ini.

Bagaimanapun, kata Loke, pihaknya difahamkan Pejuang dan Warisan masih belum bersedia untuk menandatangani MoU berkenaan.

Justeru, beliau berkata, PH menghormati pendirian mereka, namun ia tidak bermaksud mereka tidak boleh bekerjasama dalam isu yang lain.

Katanya, PH akan terus bekerjasama dengan semua Ahli Parlimen blok pembangkang dalam isu-isu di Parlimen.

“Ia termasuk melibatkan Ahli Parlimen Pejuang, Warisan dan Bebas dalam Jawatankuasa Pilihan Khas baharu yang bakal ditubuhkan, dan ia sebahagian komitmen yang perlu dilaksanakan kerajaan dalam MoU yang akan ditandatangani,” katanya.

Semalam, Ketua Parti Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin PH mengenepikan Pejuang, Warisan dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) apabila berunding dengan kerajaan mengenai senarai pembaharuan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here