KERAJAAN pimpinan Umno disifatkan berjiwa besar kerana mengenepikan momokan ‘No Anwar No DAP’ menerusi persetujuan memorandum persefahaman Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).
Perkara itu dinyatakan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang turut menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berjiwa besar kerana sedia bekerjasama dengan kerajaan walaupun gagal menjadi Perdana Menteri demi meredakan ketegangan politik.
“Hari ini akan tercatat dalam sejarah kerana krisis ‘Kerajaan Gagal’ menghasilkan natijah baru. Memorandum Persafahaman Kerajaan Persekutuan dan PH akan ditandatangani.
“DAP terutamanya Anwar berjiwa besar. Walau gagal jadi PM, tetapi demi masa depan negara sedia bekerjasama untuk redakan ketegangan politik,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, selain itu, kerajaan juga bersetuju dengan permintaan PH agar memorandum itu ditandatangani di Parlimen dan kandungannya mesti didedahkan kepada orang ramai.
“Elok juga Umno dedahkan apakah Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ada permintaan khas kepada Perdana Menteri. Mustahil tidak ada. Rakyat dan ahli juga mahu tahu. Boleh dibuat perbandingan.
“Pokoknya momokan retorik ‘No Anwar No DAP’ sudah padam. Annuar Musa turut hadir sebagai wakil kerajaan. Tahniah kerana berjiwa besar,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Kerajaan dan PH hari setuju memuktamadkan sebuah memorandum persefahaman untuk mengembalikan kestabilan politik negara bagi menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara menerusi pendekatan kerjasama secara ‘dwipartisan’.
Dengan persefahaman ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan oleh kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baharu melalui inisiatif-inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tatakelola pentadbiran kerajaan, khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.
Menerusi kenyataan bersama wakil kerajaan dan PH, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya memorandum persefahaman ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban. – Malaysiapost

