Pelaburan langsung asing negara melonjak 223.1 peratus – Azmin

0
2

MALAYSIA mencatatkan prestasi memberangsangkan pada separuh pertama 2021 apabila pelaburan langsung asing (FDI) melonjak 223.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata prestasi mengagumkan itu menandakan keyakinan pelabur asing terhadap iklim ekonomi dan ekosistem perniagaan yang stabil serta kondusif di negara ini.

Katanya, ia sekali gus menunjukkan hala tuju Malaysia kepada pemulihan ekonomi yang rancak dan mampan.

“Prestasi luar biasa ini juga menunjukkan strategi Malaysia untuk meletakkan negara ini sebagai destinasi pilihan pelaburan yang menarik dan hab rantaian bekalan di ASEAN, terutama untuk operasi pembuatan, telah menunjukkan hasil positif.

“FDI didorong prestasi sektor pembuatan yang kukuh dalam tempoh tersebut, mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM58.2 bilion.

“Sementara selebihnya RM8.7 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor ini adalah daripada sumber domestik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin berkata dari segi jumlah pelaburan diluluskan, Malaysia mencatatkan RM107.5 bilion pelaburan langsung asing dan domestik (DDI) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, menyaksikan lonjakan besar 69.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang amat mencabar akibat pandemik Covid-19, pelaburan tersebut dicapai melalui 2,110 projek dan diharap dapat mewujudkan 4,994 peluang pekerjaan di negara ini.

“Memanfaatkan kemajuan positif dalam Pelan Pemulihan Nasional, peningkatan keadaan kesihatan awam secara keseluruhan dan pembukaan semula sektor ekonomi secara beransur-ansur, Malaysia terus menarik pelaburan bernilai tinggi dan berteknologi tinggi.

“Ia turut disokong kemampuan dan keupayaan dalam menyediakan bakat berkemahiran tinggi dan kesediaan dalam menggunakan teknologi canggih untuk industri nilai tambah,” katanya lagi.

Beliau berkata sebanyak 367 projek pembuatan bernilai RM66.9 bilion yang diluluskan pada separuh pertama 2021, akan mewujudkan 32,220 peluang pekerjaan pelbagai jawatan dan peranan, yang menuju ke arah pekerjaan bernilai tinggi dan berkemahiran.

“Tenaga kerja diperlukan untuk pelaburan yang diluluskan merangkumi 1,367 jawatan pengurusan dan 4,031 profesional teknikal termasuk jurutera mekanik, kimia serta bidang lain.

“Projek pembuatan yang diluluskan juga memerlukan 4,144 pekerja pertukangan mahir.

“Sementara itu, pelaburan domestik pula menerajui sektor perkhidmatan dan utama berjumlah RM45.0 bilion atau 41.9 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here