Lelaki dakwa diculik, dipaksa ke ICU masih dirawat

0
1

JABATAN Kesihatan Pulau Pinang memaklumkan seorang pesakit Covid-19 yang mendakwa dirinya diculik dan dipaksa masuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang (HPP) masih menjalani rawatan di unit berkenaan.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Ma’arof Sudin berkata, lelaki itu masih menjalani rawatan kerana tahap kesihatannya yang kritikal serta berisiko menjangkiti orang lain jika dibenarkan pulang.

Beliau berkata, pesakit itu telah dimasukkan ke ICU selepas disahkan mengalami penyakit Covid-19 tahap empat.

“Pemeriksaan awal menunjukkan penurunan tahap oksigen dalam darah yang sangat membimbangkan.

“Sehubungan dengan itu, rawatan terapi oksigen telah dimulakan. Namun begitu, pemeriksaan lanjut mendapati keadaan pesakit semakin kritikal sehingga kadar oksigen dalam darah pesakit hanya dapat distabilkan dengan menggunakan mesin bantuan pernafasan iaitu ventilator,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr Ma’arof , pegawai perubatan pakar rawatan rapi dan ICU telah memaklumkan tentang keadaan kritikal ini kepada pesakit dan ahli keluarganya.

Katanya, pihak hospital juga menjelaskan berulang kali kepada ahli keluarga dan pesakit tentang risiko yang boleh membahayakan tubuh dan nyawa pesakit sekiranya tidak dirawat.

“Bagaimanapun, pesakit masih tidak bersetuju dengan rawatan yang telah disyorkan dan memohon agar dibenarkan pulang atas risiko sendiri,” katanya.

Beliau berkata, pihak hospital masih menempatkan pesakit itu di ICU untuk pemantauan walaupun pesakit enggan menerima rawatan terapi oksigen dan alat bantuan pernafasan ventilator.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan bahawa pesakit tidak diberi makanan semasa di ICU.

“Untuk makluman, pesakit di ICU telah diberi makanan berbentuk cecair seperti susu bagi memudahkan proses penghadaman dan mengelakkan komplikasi.

“Pihak hospital sentiasa prihatin dan akan meneruskan pemantauan terhadap pesakit tersebut serta akan sentiasa memberi maklumbalas berkala kepada keluarga pesakit.

“Justeru, orang awam dan pesakit yang mempunyai sebarang pertanyaan, aduan atau cadangan dipohon berhubung secara terus dengan pihak hospital yang berkenaan untuk penambahbaikan perkhidmatan,” katanya.

Sejak semalam, tular di media sosial mengenai seorang pesakit Covid-19 di ICU HPP yang mendakwa dirinya diculik dan dipaksa menjalani rawatan di wad ICU hospital berkenaan walaupun keadaan kesihatannya stabil. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here