Jangan jadikan negara, rakyat taruhan capai agenda tertentu – Agong

0
2

YANG di-Pertuan Agong menasihatkan Ahli Parlimen tidak meletak masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan mencapai agenda tertentu, sebaliknya fokus memerangi penularan Covid-19.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah negara belum bebas setelah lebih setahun penularan wabak itu yang menyebabkan rakyat terkesan dari aspek kesihatan dan kehilangan mata pencarian.

Titahnya, baginda menerima ratusan pucuk surat daripada rakyat yang merintih nasib dan berharap agar ada sinar bagi membolehkan mereka menikmati kehidupan seperti biasa.

“Nasihat beta kepada semua ahli-ahli yang berhormat, jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat beta sebagai taruhan dalam percaturan mencapai agenda tertentu.

“Beta menyeru kepada ahli-ahli berhormat sekali untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat beta dan negara tanah tumpahnya darah kita,” titahnya.

Baginda bertitah demikian dalam Titah Ucapan Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menitipkan tiga rangkap pantun untuk nasihatnya kepada Ahli Parlimen seperti berikut:

Dari Segamat ke Kota Tinggi, 
Hajat mulanya ke Kuala Pahang, 
Kepada Yang Berhormat ikhlaslah berbakti, 
Tidaklah rakyat gusar dan bimbang 
Kalau memandang langit yang tinggi, 
Jangan lupa rumput di bawah, 
Bekerjalah Yang Berhormat sepenuh hati, 
Martabatkan negara kembali bermaruah 
Rempah halia digaul dan diuli, 
Buat ramuan nasi kebuli, 
Sumpah setia ketaatan diberi, 
Pertahankan negara dan ibu pertiwi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here