YANG di-Pertuan Agong menyeru seluruh rakyat supaya tidak leka dan cepat berpuas hati dalam usaha menangani pandemik Covid-19 yang kini dilihat berada di landasan yang kukuh.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya usaha diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan, terutamanya dengan kemunculan pelbagai varian baharu.
Titahnya, kerajaan hendaklah terus berusaha untuk menurunkan kes jangkitan harian Covid-19 dan mencapai imuniti kelompok dengan segera.
“Negara kini berada di atas landasan kukuh dalam menangani Covid-19 menerusi pembentukan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta pakej bantuan kewangan dan rangsangan ekonomi kepada rakyat.
“Beta amat menghargai segala usaha berterusan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai strategi bagi menangani pandemik Covid-19 serta impaknya terhadap aspek ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat.
“Manakala, peratus kes sembuh Covid-19 di negara kita adalah tinggi dan majoriti kes baharu pula tergolong dalam kategori 1 dan 2. Malahan, negara kita antara negara dengan kadar vaksinasi terpantas di dunia,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen ke-14, 2021 hari ini.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, pencapaian tersebut sudah pasti hasil daripada kejayaan PICK dan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
Menurut Baginda, kini hampir 75 peratus pekerja sektor pembuatan yang berdaftar dengan program imunisasi industri telah menerima vaksinasi lengkap dan telah membantu meningkatkan produktiviti di sektor pengilangan dan pembuatan.
“Menyedari hakikat tersebut, strategi ‘whole-of-society effort’ perlu dipergiatkan dengan naratif komunikasi yang berkesan. Beta mengalu alukan usaha kerajaan dalam memperkasa ‘Agenda Nasional Malaysia Sihat’ dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini.
“Menerusi pendekatan ini, rakyat akan berasa yakin untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan senario COVID-19 sebagai endemik, yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita,” titahnya.
Baginda bertitah, dalam menerima Covid-19 sebagai sebahagian daripada kehidupan, seluruh rakyat hendaklah sedar akan bahayanya virus berkenaan, khususnya varian baharu dan juga kemungkinan munculnya pelbagai varian lain pada masa hadapan.
“Justeru, rakyat masih lagi perlu untuk sentiasa menjaga kesihatan diri, mengambil langkah berjaga-jaga dan kekal berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard pada sebilang masa. Lebih utama, rakyat hendaklah menentukan diri mereka divaksinasi.
“Kerajaan juga hendaklah memperkemaskan dasar berhubung kemasukan dan pemberian visa kepada warga asing agar penularan varian baharu dapat dikawal.
“Pada masa sama, kawalan sempadan negara perlu sebilang masa diketatkan bagi membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin,” titahnya. – Malaysiapost

