Pelajar IPT tak cukup 2 dos tak boleh kembali ke kampus

0
1

PELAJAR institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak lengkap dua dos vaksin Covid-19 tidak dibenarkan kembali menyambung pengajian di kampus.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata mereka perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan hanya dibenarkan kembali ke kampus selepas menerima vaksin lengkap.

“Hanya pelajar IPT yang telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 sahaja dibenarkan mengikuti pengajian secara hibrid di kampus,” katanya seperti dilaporkan Mingguan Malaysia hari ini.

Noraini berkata, arahan itu terpakai kepada semua termasuk universiti swasta, politeknik dan kolej komuniti seperti termaktub dalam prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kementerian Pengajian Tinggi, katanya, akan mengadakan kempen bagi menggalakkan pelajar mengambil vaksin dalam usaha untuk mewujudkan persekitaran selamat di dalam kampus.

Mengikut rekod KPT, lebih 195,000 pelajar IPT awam tidak mempunyai rekod pendaftaran vaksinasi setakat ini.

Ia lebih tinggi berbanding pelajar IPT swasta yang tiada rekod vaksinasi, iaitu kira-kira 51,000 atau 10.2 peratus.

Secara keseluruhan, sekitar 37.5 peratus pelajar IPT awam dan swasta tidak mempunyai rekod status vaksinasi berdasarkan rekod semasa KPT.

Sementara itu, Noraini berkata, dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi kepada pelajar, pihaknya mengadakan perbincangan dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, minggu lalu.

“Alhamdulillah, kerajaan bersetuju supaya pelajar IPT yang masih belum divaksin, boleh mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’ di PPV (Pusat Pemberian Vaksin) terbuka.

“Pelajar sedia ada hanya perlu menunjukkan kad matrik pelajar, manakala bagi pelajar baharu, perlu membawa surat tawaran kemasukan ke IPT,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here