PIHAK berkuasa agama wajar membenarkan solat Jumaat diadakan di dewan atau surau yang banyak tersedia di sesebuah kawasan.
Perkara itu disarankan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertujuan mengelak kapasiti masjid dan surau Jumaat penuh susulan jumlah jemaah yang dihadkan ketika pandemik Covid-19.
Susulan kontroversi layanan berbeza terhadap jemaah di Masjid Putra, Putrajaya yang tular di media sosial, Ahmad Zahid berkata ia boleh dielak jika beberapa langkah diambil bagi mewujudkan peluang lebih ramai umat Islam untuk menunaikan solat Jumaat sepanjang endemik.
“Kontroversi itu dijawab pihak pengurusan masjid iaitu dengan kapasiti jemaah telah penuh 300 orang, manakala individu yang datang kemudian dibenarkan masuk kerana telah mendaftar lebih awal, namun ia boleh dielakkan.
“Saya mencadangkan agar solat Jumaat dibenarkan di dewan atau surau yang banyak tersedia di sesebuah kawasan.
“Tujuannya supaya umat Islam negara ini mempunyai lebih banyak lokasi pilihan untuk menunaikan solat Jumaat di kawasan masing-masing semasa pandemik mahupun endemik,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Ahmad Zahid berkata, umat Islam harus dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat dengan syarat mesti mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan selain lengkap menerima dua dos vaksin.
“Dalam keadaan ramai individu dewasa Malaysia dilaporkan telah lengkap dua dos suntikan vaksin, saya fikir cadangan itu mungkin lebih wajar untuk dipertimbangkan pada waktu ini,” katanya lagi.
Ahmad Zahid berkata kontroversi layanan berbeza ketika menunaikan solat Jumaat telah meninggalkan kesan di hati umat Islam.
Katanya lagi, insiden itu mengundang pelbagai kritikan walaupun pihak masjid telah memohon maaf dan menjelaskan kedudukan sebenar insiden berkenaan.
“Umat Islam yang menonton rakaman video berhubung dakwaan layanan berbeza kepada jemaah yang mahu menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid semalam (kelmarin) pasti terasa hati ibarat cubit paha kiri, paha kanan terasa juga.
“Antara rungutan yang boleh dengari jelas dalam rakaman video itu ‘mahu solat pun perlu guna kabel’ ekoran VIP dibenarkan menunaikan solat Jumaat, tetapi orang biasa dilarang,” katanya. – Malaysiapost

