SEORANG pemandu bas persiaran ditahan bersama 150 kilogram (kg) daun ketum yang disorok dalam lapan beg di ruang simpanan barang kenderaan itu, malam tadi.
Dalam kejadian pada jam 11.30 malam itu, suspek berusia 46 tahun berkenaan sedang mengisi daun ketum terbabit ke dalam sebuah bas, di Terminal Bas Shahab Perdana, Alor Setar, Kedah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman @Abdul Rahim berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama anggota dari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Kuala Kedah.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam ruang simpanan barang di bawah bas persiaran itu menemui 626 plastik yang mengandungi daun ketum.
“Pemeriksaan lanjut menemui dua paket plastik lutsinar di mana di dalamnya berisi dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 1.60 gram dan satu paket dadah jenis heroin seberat 14 gram,” katanya.
Anuar berkata, susulan itu polis turut menahan seorang wanita berusia 37 tahun untuk membantu siasatan.
“Ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah dan kedua-dua suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah lalu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 39A (2) Akta Racun 1952 serta Seksyen 12(2) ADB 1952. – Malaysiapost

