KENYATAAN terbuka Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Zahar Ujang, berhubung isu penarikan balik kes-kes melibatkan individu tertentu adalah sesuatu yang serius dan berat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kenyataan itu mengakibatkan imej SPRM sebagai agensi bebas, adil dan profesional tercalar.
Beliau berkata, berdasarkan kenyataan berkenaan, LPPR menggambarkan SPRM dipengaruhi politik dan tidak membuat pertimbangan menyeluruh bila mendakwa bekas ahli lembaga pengarah Felda, Noor Ehsanuddin pada Februari 2019.
“Kes itu telah ditarik balik. Ehsanuddin pernah bertugas sebagai Pegawai Khas Najib (Datuk Seri Najib Razak). Sebab itu dakwaan LPPR amat merunsingkan.
“Latheefa Koya adalah boss SPRM ketika itu. Dia adalah lantikan politik oleh Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad). Latheefa turut membocorkan sembilan audio rakaman perbualan termasuk Najib dan Putera Raja UAE tanpa sebab.
“Justeru wajar Latheefa Koya disiasat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut berharap, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat menyegerakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang dipercayai amat berkaitan dengan isu berkenaan.
“Terlalu banyak misteri. Kes Ehsanuddin dan kritikan keras Tan Seri Abu Zahar (LPPR) menguatkan lagi kesangsian terhadap kes kes pendakwaan semasa Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri,” katanya. – Malaysiapost

