KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum bahawa bunuh diri berada di antara 10 penyebab utama kematian di dunia, dan penyebab keempat kematian bagi mereka yang berumur daripada 15 hingga 29 tahun.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan di seluruh dunia terdapat lebih 703,000 kes bunuh diri setiap tahun, dengan purata satu kejadian bunuh diri setiap 40 saat.
Menurutnya, pada 2019, satu dalam 100 kematian (1.3 peratus) adalah disebabkan bunuh diri dan bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan seramai 135 ahli keluarga atau rakan-rakan akan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi.
Dr Noor Hisham berkata, sekiranya kemurungan itu gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya berisiko untuk tingkah laku bunuh diri.
“Tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri, rancangan bunuh diri, cubaan bunuh diri dan kematian akibat tindakan bunuh diri.
“Sumber daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, terdapat peningkatan dalam kematian akibat kes bunuh diri yang dilaporkan di Malaysia pada tahun 2020 iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada tahun 2019.
“Sehingga Julai 2021, sejumlah 638 kes bunuh diri telah dilaporkan oleh PDRM berbanding 262 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2020 (Jan-Julai 2020) iaitu peningkatan sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2021, hari ini yang bertemakan ‘Bertindak Segera, Harapan Terbina’.
Menurutnya, tema pada tahun ini adalah ‘Bertindak Segera, Harapan Terbina’ bertujuan untuk meningkatkan keyakinan masyarakat bersama dalam mencegah insiden bunuh diri dan menghapuskan stigma berkaitan tingkah laku bunuh diri.
“Selaras dengan ‘Konsep Keluarga Malaysia’, peranan masyarakat secara bersama bagi mengenal pasti simptom awal kemurungan dan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan orang disayangi terutama dalam situasi pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau memaklumkan, KKM juga mengambil beberapa inisiatif menangani isu bunuh diri antaranya pengukuhan pelaksanaan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial.
Menurutnya, pertambahan pegawai psikologi kaunseling di peringkat daerah dan klinik kesihatan juga dilaksanakan dan sokongan terhadap usaha dekriminalisasi cubaan bunuh diri termasuk pindaan atau pemansuhan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menyabitkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah.
“Pelaksanaan dekriminalisasi cubaan bunuh diri akan menjadi anjakan dalam usaha pencegahan bunuh diri di Malaysia. Ini akan menggalakkan mereka yang terkesan untuk tampil dan mendapatkan bantuan seawal mungkin.
“Advokasi juga dilaksanakan melalui kempen Let’s Talk Minda Sihat kepada kumpulan sasar menerusi dan masyarakat secara menyeluruh merentas agensi dan secara bersepadu serta latihan secara berterusan pengendalian tingkah laku bunuh diri.
“Dan mempergiatkan sesi libat urus pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi memastikan tiada golongan tercicir untuk menangani isu tingkah laku bunuh diri,” katanya. – Malaysiapost

