Anwar mahu isu kesihatan mental petugas kesihatan dibawa ke Parlimen

0
1

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isu kesihatan mental petugas kesihatan menjadi perkara utama yang akan disentuh pada sidang Parlimen minggu depan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu, berkata beliau meneliti laporan mengenai luahan para petugas kesihatan yang mengalami tekanan dan gangguan emosi sepanjang bertugas memerangi wabak.

“Pengorbanan mereka tanpa henti wajar mendapat pembelaan dan perhatian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Anwar berkata, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin harus memberi perhatian terhadap isu berkenaan kerana usaha memerangi Covid-19 bukan hanya mengawal penularan virus semata-mata.

“Saya melihat keperluan untuk mempunyai pendekatan memerangi Covid-19 tidak hanya dalam strategi mengawal penularan, tapi harus termasuk tahap emosi dan kesihatan mental para petugas kesihatan.

“Ini harus diambilkira oleh Menteri Kesihatan yang baharu,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan mesti memberi fokus aspek pengurusan, persekitaran kerja, keperluan asas, penjagaan kesihatan dan keselamatan kakitangan yang bertugas di mana-mana fasiliti kesihatan dengan lebih berkesan.

“Justeru, isu kesihatan mental petugas kesihatan ini perlu menjadi perkara utama yang akan disentuh kelak sewaktu sidang Parlimen minggu depan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, perang melawan Covid-19 ternyata menjejaskan kesihatan mental barisan petugas hadapan kesihatan.

Didapati lebih 70,000 daripada mereka berdepan pelbagai gangguan emosi. Hakikatnya, ia isu sejagat dan bukan sahaja berlaku di negara ini.

Malah, Hospital Kuala Lumpur (HKL) merekodkan sekitar 45 hingga 50 peratus daripada hampir 2,000 kakitangan kesihatan menjalani saringan kesihatan mental secara dalam talian mahupun bersemuka dari Mac 2020 hingga Julai lalu, mengalami gangguan emosi seperti stres ringan hingga teruk dan kelesuan melampau.

Sebahagian kecil mereka mencapai tahap penyakit psikiatri serius seperti kemurungan teruk atau kecelaruan keresahan. Senario ini adalah realiti yang perlu dicari intervensi berkesan oleh semua pihak terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here