Nurul Huda Abhar
WALAUPUN jatuh tersungkur kerana ditampar bapa sendiri, seorang kanak-kanak perempuan tetap merayu agar jangan mengapa-apakan bapanya atau menelefon polis.
Menerusi video tular di laman TikTok dan dimuat naik di Twitter, seorang lelaki dipercayai bapa kepada kanak-kanak perempuan itu telah diberi amaran kerana tidak mengawasi anaknya yang dilihat melintas jalan secara berbahaya.
Si bapa kemudian menumbuk kanak-kanak bernama ‘Aishah’, lantas menimbulkan kemarahan lelaki yang sedang merakam video itu dan tercetus pergaduhan kecil.
Bagaimanapun, reaksi kanak-kanak itu menarik perhatian netizen kerana dengan spontan mempertahankan bapanya daripada dikasari lelaki tersebut.
Malah, kanak-kanak itu memohon lelaki berkenaan agar jangan membuat aduan kepada pihak polis.
“Jangan panggil polis, ini saya punya bapa,” rayu kanak-kanak itu dalam tangis.
Dalam video tersebut, budak perempuan itu kelihatan mengusap rambut bapanya yang terduduk di tepi sebuah kereta selepas dipukul lelaki tersebut yang berang melihat dia menampar anak sendiri.
Rata-rata netizen tersentuh dengan ketulusan hati anak kecil tersebut yang membela bapanya, meskipun ditampar hingga terjatuh.
Lokasi kejadian itu tidak dapat dikenalpasti namun terdapat beberapa tulisan di ruangan komen berkata ia berlaku di Chow Kit.
Semakan Malaysiapost di laman TikTok akaun @aya kl 0836 adalah lelaki yang merakam video tersebut, namun klip itu telahpun dipadam.
Meninjau beberapa hantaran beliau, terdapat sebuah video memaparkan perbualannya bersama kanak-kanak itu, yang memberitahu si bapa sering kali memukulnya.
Video tersebut dibanjiri ucapan terima kasih daripada netizen yang tersentuh melihat lelaki itu mendandan rambut ‘Aishah’ dengan penuh kasih sayang. – Malaysiapost

