Parlimen bukan jabatan, perlu bebas cengkaman mana-mana pihak – Rais

0
1

PROSES memberi nafas baharu kepada Parlimen Malaysia termasuk Dewan Negara sedang dilaksanakan, kata Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata ia dilaksanakan dengan merangka beberapa pelan transformasi yang diyakini berupaya merubah imej serta pandangan terhadap institusi Parlimen sejak berdekad lalu.

“Insya-Allah menerusi langkah transformasi ini yang disertai pelbagai pihak termasuk wakil kerajaan, Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan kita sohorkan dalam menjalankan khidmat cemerlang kepada rakyat, sekali gus mengangkat kewibawaannya pada kedudukan sebenar.

“Pandangan ini sudah pun disebut pelbagai pihak sejak lima tahun lalu tetapi belum ada langkah konkrit dilaksanakan,” katanya ketika berucap dalam majlis angkat sumpah enam senator di Dewan Negara hari ini.

Dr Rais berkata dalam hal berkenaan, Dewan Negara telah membuat kata sepakat dengan Dewan Rakyat untuk menambah baik struktur pentadbiran serta kerangka perundangan yang bersangkutan dengan Parlimen.

Katanya, ia bagi memastikan konsep pengasingan kuasa benar-benar wujud, dihormati serta dihayati dan seterusnya memastikan kewibawaan Parlimen dapat diperkasakan.

Sesuai langkah transformasi, katanya lagi, Parlimen tidak boleh lagi dilabel sebagai alat mana-mana pihak untuk menghalalkan apa yang ingin dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bersangkutan dengan kewibawaan Parlimen.

“Tumpuan kepada agenda transformasi ini adalah kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) serta mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992.

“Pada masa sama, Peraturan-Peraturan Mesyuarat akan ditambah baik meliputi aspek perjalanan mesyuarat, disiplin ahli-ahli Yang Berhormat serta memperkuatkan jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas supaya mempunyai kuasa perlaksanaan,” katanya.

Beliau menambah, jika semua transformasi itu dilunaskan, banyak hal dan muslihat yang tidak dapat dikawal dapat diatasi oleh Parlimen melalui kuasanya dan tentu sekali institusi legislatif ini terutama Dewan Negara tidak lagi dilihat sebagai remeh atau tidak penting.

“Begitu jugalah halnya dalam soal kewangan dan pentadbiran kerana sudah tiba masanya Parlimen menentukan kaedah kewangan sendiri dan bagaimana ia hendak dibelanjakan juga adalah bidang kuasa sepenuhnya Parlimen.

“Kita tidak boleh lagi berterusan dilayan seperti sebuah jabatan. Parlimen bukan jabatan. Parlimen ini perlu bebas daripada cengkaman mana-mana pihak dalam erti kata yang sebenar-benarnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here