Undi18, daftar pemilih automatik suburkan demokrasi

0
1

SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik adalah dua berita baik yang dapat menyuburkan sistem demokrasi di negara ini.

Beliau berkata, tindakan itu wajar bagi memberi peluang lebih ramai rakyat untuk memilih kerajaan yang terbaik pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Selain itu, beliau menyifatkan seramai 5.6 juta rakyat Malaysia yang belum mendaftar sebagai pengundi adalah angka yang tinggi.

“Undi18 dan daftar automatik dua berita baik bagi suburkan demokrasi. 5.6 juta orang belum daftar dengan 1.2 juta umur 18-21 tahun dan 4.4 juta pula 21 tahun ke atas.

“Daftar automatik dan undi 18 telah dilulus lebih 2/3 undi di Dewan Rakyat sejak 16 Julai 2019,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, ada setengah juta orang dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berusia lebih 100 tahun dan meninggal dunia perlu dikeluarkan.

“Justeru, SPR perlu berkerjasama rapat dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk laksana Undi18 dan daftar automatik.

“Ini semua baik untuk negara. Beri peluang kepada ramai rakyat untuk memilih Kerajaan yang terbaik. Masa yang cukup telah diberi kepada SPR,” katanya.

Semalam, media melaporkan, seramai 5.6 juta rakyat Malaysia termasuk yang belum mendaftar sebagai pengundi akan berpeluang menjadi pemilih pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jumlah itu meliputi 1.2 juta golongan remaja sudah berusia 18 tahun sehingga 21 tahun selain 4.4 juta lagi individu berumur 21 tahun ke atas yang langsung tidak pernah mendaftar.

“Ini bermakna SPR perlu membuat persediaan awal yang lebih besar terutama dari segi bilangan petugas bagi hadapi PRU akan datang nanti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here