SEKRETARIAT Undi Automatik 18 Tahun Barisan Nasional (BN) menyokong pelaksanaan undi 18 seperti yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung perkara itu.
Ketuanya, Datuk Sivarraajh Chandran, berkata walaupun Wan Junaidi dalam pengumuman yang sama menyatakan bahawa kerajaan belum memutuskan sama ada untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuching ataupun tidak, namun pihaknya berharap agar kerajaan tidak akan memfailkan rayuan keputusan tersebut.
Katanya, kerajaan perlu akui bahawa sebarang tindakan yang seolah-olah menunjukkan kerajaan tidak komited untuk melaksanakan Undi 18 akan hanya terus menjauhkan lagi pengundi muda dari terlibat dalam sebarang usaha kerajaan.
“Untuk berdepan dengan pandemik ini, kita perlukan penglibatan segenap masyarakat ataupun “a whole of a nation approach”. Ini termasuk penglibatan secara langsung ataupun tidak langsung pengundi muda dalam pentadbiran dan pengurusan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Sekretariat Undi Automatik 18 Tahun Barisan Nasional juga berharap Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) segera bergerak melaksanakan beberapa usaha termasuk penganjuran kelas pendidikan politik dan pentadbiran secara dalam talian.
“Yang melibatkan kerjasama rentas parti disamping menggerakan pelbagai inisiatif untuk menggalakan pengundi muda untuk terus bersiap sedia,” katanya.
Menurutnya, pengumuman Wan Junaidi itu menunjukkan komitmen kerajaan melaksanakan Undi 18.
“Ia selaras dengan gagasan Keluarga Malaysia Perdana Menteri yang memberi penekanan pada usaha membina negara bangsa yang lebih inklusif dengan penglibatan segenap masyarakat.
“Justeru, Sekretariat Undi Automatik 18 Tahun Barisan Nasional berharap agar semua pihak yang terlibat akan terus mendukung dan menyokong usaha pemerkasaan hak anak muda demi ini masa hadapan masyarakat dan negara,” katanya.
Semalam, Wan Junaidi dilaporkan telah mengarahkan SPR untuk bersiap sedia melaksanakan Undi 18 sebelum 31 Disember 2021 seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching. – Malaysiapost

