
PESURUHJAYA Kanak-Kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal khuatir dengan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membuka semula sekolah pada 3 Oktober ini.
Noor Aziah berkata, ia kerana masih ramai lagi guru dan kanak-kanak belum divaksin.
Justeru, beliau mengesyorkan supaya hanya pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dibenarkan hadir ke sekolah tanpa mengira Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Selain itu, beliau juga mengesyorkan empat syarat berikut kepada KPM sebagai langkah berjaga-jaga.
i. Para pelajar ini hendaklah lengkap dua dos vaksin dan telah melepasi tempoh 14 hari dari tarikh vaksinasi kedua mereka.
Jika ini adalah mustahil untuk dilakukan, KPM hendaklah menunda pembukaan semula sekolah sehingga 15 Oktober 2021. Untuk kelancaran program vaksinisasi kanak-kanak, pelajar bolehlah divaksin di pekarangan sekolah masing-masing.
ii. Semua individu di sekolah termasuk guru-guru, kakitangan sekolah, pengusaha kantin, pengawal keselamatan sekolah dan pemandu bas hendaklah telah lengkap divaksin.
iii. Semua ibu bapa dan ahli keluarga yang tinggal serumah dengan pelajar hendaklah telah lengkap divaksin.
iv. KPM hendaklah membentangkan pada orang ramai berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang terkini sebelum membuka semula sekolah termasuk SOP keluarga; SOP perjalanan pergi dan balik sekolah; dan SOP dalam kawasan sekolah yang terperinci dengan cara yang jelas dan mudah difahami.
Sementara itu, bagi pelajar lain, beliau mengesyorkan mereka meneruskan dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga kes Covid-19 menurun ke satu jumlah yang dianggap selamat untuk kembali semula ke sekolah bagi menjalani pembelajaran secara bersemuka.
“Sementara untuk pelajar yang enggan divaksin, mereka hendaklah meneruskan pembelajaran di rumah (PdPR).
“Selain itu, kaunselor dari Jabatan Pendidikan Daerah dan Negeri, sekolah dan KPM digesa memberi penerangan berhubung kepentingan vaksinisasi kepada pelajar dan ibu bapa, dengan mengingatkan mereka akan risiko Covid-19 bagi pelajar yang tidak divaksin sepenuhnya,” katanya. – Malaysiapost
