PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sibu, menahan beberapa individu dan merampas sebuah kapal yang dipercayai menjalankan aktiviti pengorekan pasir secara haram di perairan Pulau Dudong, Sungai Batang Rajang, Sibu, Isnin lalu.
Tangkapan dan rampasan itu dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Risik Marin (URM) PPM Wilayah Lima Sibu ketika menjalankan tugasan di perairan berkenaan.
Komander PPM Wilayah Lima Sarawak, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd Ghazali, berkata nilai rampasan yang dibuat dianggarkan lebih RM3.085 juta.

“Semasa pemeriksaan dibuat mendapati aktiviti pengorekan pasir yang dijalankan oleh kapal tersebut adalah di luar kawasan lesen yang dibenarkan selain lesen yang dikemukakan juga telah tamat tempoh.
“Pasukan operasi telah menahan tiga lelaki warga tempatan dan tiga lelaki warganegara Indonesia berusia antara 27 hingga 52 tahun di atas kapal tersebut bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, rampasan dibuat membabitkan sebuah kapal dan dua kren bersama muatan pasir dan klasifikasi kesalahan adalah di bawah Akta Kanun Tanah Negeri Negeri Sarawak.

“Tangkapan dan rampasan tersebut diserahkan kepada Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya. – Malaysiapost

