Rakyat, parti adalah ‘punca kuasa’ seorang wakil rakyat – Shahrir Samad

0
1

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata ‘punca kuasa’ seseorang wakil rakyat ialah rakyat yang mengundi dan parti yang meletakkannya sebagai calon.

Beliau berkata, kedua-dua prinsip ini adalah asas kepada sistem ‘Recall Elections’ untuk membasmi amalan ‘politik katak’ yang tidak menghormati punca kuasa seorang wakil rakyat, iaitu rakyat dan parti.

“Semuanya berpandu kepada prinsip bahawa ‘punca kuasa’ seseorang wakil rakyat ialah pertamanya, rakyat yang mengundi. Keduanya, parti yang meletakkan kita sebagai calon.

“Kedua-dua prinsip ini adalah asas kepada sistem ‘Recall Elections’ untuk membasmikan amalan ‘politik katak’ yang tidak hormati punca kuasanya sebagai seorang wakil rakyat, iaitu rakyat dan parti,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru sehingga menyebabkan Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 1988 telah menjadi rujukan kepada sistem ‘Recall Election’ untuk mencegah kejadian ‘politik katak’ atau ‘party hopping’.

Shahrir menjelaskan, peletakkan jawatan itu dibuat selepas beliau tidak diterima menjadi ahli parti Umno Baru yang ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengganti kepada Umno asal yang didapati tidak sah oleh mahkamah.

“Mengapa saya dan rakan-rakan Umno Johor Bahru tidak diterima masuk ke Umno Baru, hanya Tun Dr Mahathir sahaja boleh menjelaskan ‘kebijaksanaan’ politiknya.

“Betullah saya dan Umno Johor Bahru bukan penyokong Tun Dr Mahathir semasa pemilihan parti pada 1987. Tapi kami pula yang ditugaskan memenangkan calon Umno Baru yang pertama yang bertanding di PRK DUN Tanjung Puteri setelah keputusan PRU 1986 dicabar di mahkamah,” katanya.

Menurut Shahrir, dipendekkan cerita, calon Barisan Nasionl (BN) menang PRK Tanjung Puteri walaupun tipis.

“Politik Tun Dr Mahathir dengan Umno Baru tetap diteruskan. Mereka yang tidak menyokongnya masa pemilihan parti 1987 diketepikan dari memegang jawatan pro-tem dalam Umno Baru.

“Kami tidak mahu pula untuk bersama dengan parti gantian kepada Umno asal yang dirancang penubuhannya oleh Tengku Razaleigh.

“Ramai rakan-rakan saya dalam Team B, iaitu nama yang diberikan kepada kumpulan penentang kepada Tun Dr Mahathir, yang bersama dengan Tengku Razaleigh,” katanya.

Sehubungan itu, Shahrir berkata, dalam keadaan tidak menentu itu beliau dan rakan-rakannya bersetuju supaya beliau menyerahkan semula kerusi Parlimen Johor Bharu kepada keputusan rakyat melalui satu PRK.

“Saya pun meletakkan jawatan. Dikembalikan kerusi itu kepada penentuan rakyat sebagai kuasa pemutus yang sebenar dalam sistem Demokrasi Berparlimen.

“Belum tahu yang saya akan menang. Rakyat yang berkuasa untuk menentukan. Alhamdulillah, saya yang dipilih kembali diatas undi terbanyak,” katanya.

Sebagai kesimpulan, Shahrir menjelaskan tindakan itu dibuat berpandukan ‘punca kuasa’ seseorang wakil rakyat iaitu asas kepada sistem ‘Recall Elections’ untuk membasmikan amalan ‘politik katak’. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here