Pemimpin Bersatu diperangi kerana melawan kleptokrat – Wan Saiful

0
1
Datuk Wan Saiful Wan Jan.

BERSATU yang menyambut ulang tahun kelima penubuhannya hari ini, perlu lebih berani dari pelbagai sudut untuk bergerak ke hadapan, kata Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Wan Saiful berkata parti itu mesti berani membuka ruang untuk lapisan baharu, memperbanyak perbahasan mengenai dasar pentadbiran negara agar parti yang menentukan agenda pentadbiran, selain memberi kepercayaan kepada lebih ramai muka baharu.

Pada masa sama, katanya, Bersatu tidak boleh membenarkan budaya hanya percaya “orang keliling” menjadi barah.

“Mesti berani beri empowerment kepada jentera parti akar umbi. Mereka adalah penggerak sebenar, penentu hidup mati parti. Mesti berani segerakan kaderisasi generasi pelapis. Biar parti ini penuh persaingan sihat antara tokoh-tokoh berpotensi.

“Tidak lupa, unsur kerohanian mesti ditanam dalam perjuangan. Parti tidak akan bertahan lama jika yang dikejar hanya dunia.

“Bersatu mesti tunjukkan perbezaan dengan parti-parti lain. ‘Unique selling point’ kita mesti jelas. Niat kita juga mesti diikhlaskan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Saiful juga mengingatkan ahli Bersatu agar jangan sesekali lupa bahawa ia ditubuhkan oleh pemimpin yang sanggup dipecat demi melawan kleptokrat.

“Pemimpin kita diperangi kerana melawan kleptokrat. Kita juga terbukti tidak berkompromi dengan tekanan kleptokrat. Kita ini parti yang terbukti istiqamah dan tidak gentar bercakap benar walau apa pun risiko.

“Anak muda, golongan profesional, dan rakyat semua peringkat yang mahu menaikkan pemimpin yang bersih, inilah wadah yang perlu disertai. Kitalah yang boleh menaikkan lapisan baru dengan agenda yang tulus, baik untuk negara mahupun untuk parti.

“Saya yakin, jika kita membulatkan tekad, memberanikan diri dan memperjelas tawaran kepada rakyat, bukan sahaja kita boleh berbangga kerana mencapai usia lima tahun hari ini, malah kita boleh yakin akan terus memimpin di tahun-tahun akan datang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here