BERSATU ditubuhkan lima tahun lalu dengan semangat kental mahu mengubah negara serta menghapuskan rasuah dan kleptokrasi.
Mengimbau perjalanan lima tahun Bersatu, Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata pelbagai rintangan telah dilalui bermula dengan kesukaran mendaftarkan parti.
Selepas diluluskan, katanya, Bersatu diancam pula untuk digantung pendaftarannya.
“Mengambil risiko bertanding puluhan kerusi dalam PRU14 tetapi menang hanya belasan. Terpaksa menjaga amanah kuasa dalam keadaan parti-parti seangkatan mempunyai keutamaan yang amat berbeza.
“Kemudian mengambil risiko keluar gabungan demi mengembalikan agenda bangsa dan agama. Akibatnya parti berpecah dan hilang tokoh-tokoh awal. Terkini hilang pula kemuncak kuasa.
“Semuanya diharungi dengan tabah. Keutamaan paling tinggi kekal sama iaitu memperjuangkan tadbir urus bersih dan telus, menjaga kebajikan rakyat dan membina ekonomi terbuka berteraskan sistem pasaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Wan Saiful menambah, selain itu keutamaan pastinya meletakkan agenda bangsa dan agama paling atas, kedaulatan undang-undang, pemisahan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman juga menjadi agenda yang dipertahankan.
Katanya, perpaduan politik Melayu Bumiputera terus diusahakan walaupun ramai yang mahu merosakkannya.
“Perpaduan politik Melayu penting kerana ia penentu kestabilan negara hari ini. Kestabilan itu akan membawa kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Jajaran baru yang mengubah identiti teras negara kita adalah tidak sesuai.
“Perlu disebut agenda perpaduan Melayu bukan mengenai politik perkauman sempit. Tetapi ia untuk membawa kemakmuran kepada seluruh rakyat berbilang bangsa. Malahan keahlian kita sejak awal penubuhan memang terbuka untuk semua,” katanya.
Beliau berkata, Bersatu pasti dan mesti terus maju kerana ia parti yang dibina atas agenda jelas, berbeza daripada parti-parti lain.
“Ia parti Melayu yang dibina oleh pemimpin yang sanggup hilang segalanya demi menegakkan integriti dan tadbir urus yang baik,” katanya. – Malaysiapost

