EMPAT sekeluarga rentung selepas rumah teres dua tingkat yang mereka diami terbakar dalam kejadian di Taman Hungap, Penampang, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa yang maut adalah suami isteri, Matthew Wong, 50, dan Jecky Vun Kon Fong, 47, serta dua anak mereka, Brandon Wong, 18, dan Eric Wong, 15, dipercayai terperangkap di dalam rumah berkenaan.
Ketua Zon l Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba Hamsa Isnurdini, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.52 pagi.
Menurutnya, sepasukan 11 anggota dan pegawai ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api masih marak di dalam rumah berkenaan dan operasi pemadaman segera dijalankan.
“Pasukan bomba memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 60 meter dua pancutan menggunakan sumber air dari tangki jentera,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Beliau berkata, api berjaya dikawal pada jam 3.40 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.10 pagi.
“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan bomba menemui empat mangsa rentung di dalam rumah itu iaitu suami isteri dan dua anak lelaki pasangan berkenaan.
Hamsa berkata, semua mangsa sudah dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan Bahagian Forensik JBPM.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim turut mengesahkan insiden malang berkenaan. – Malaysiapost
Kredit foto: Sinar Harian

