Muhyiddin tidak patut terima jawatan Pengerusi MPN – Puad

0
2

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berpendapat Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sepatutnya menerima jawatan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) kerana kegagalannya sebelum ini.

Menurutnya, Ahli Parlimen Pagoh itu sudah diberi peluang selama 17 bulan ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini, namun gagal menangani pandemik Covid-19 hingga terpaksa meletak jawatan.

Mohd Puad juga tidak bersetuju dengan pandangan Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin yang mengatakan Muhyiddin sebagai berjiwa besar kerana tidak mengambil sebarang imbuhan setelah dilantik sebagai Pengerusi MPN.

“Bukankah Muhyiddin lebih berjiwa besar jika dia tidak menerima jawatan Pengerusi MPN? Dia sudah diberi peluang selama 17 bulan jadi Perdana Menteri.

“Kuasa seorang Perdana Menteri lebih besar daripada kuasa Pengerusi MPN. Tetapi dia gagal. Sepatutnya dia tidak terima jawatan tersebut apatah lagi kalau memintanya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut menempelak saranan Khairil Nizam yang mengatakan tindakan Muhyiddin itu adalah sesuatu yang wajar dicontohi oleh orang lain termasuk ahli politik kanan.

“Apa yang patut dicontohi? Sepatutnya bila sudah terbukti gagal dan terpaksa letak jawatan maka janganlah ambil balik jawatan.

“Bila CEO syarikat letak jawatan kerana syarikat rugi, maka apakah dia wajar dilantik semula untuk memulihkan prestasi syarikat?

“Maka wajarlah Menteri kanan termasuk yang ada jawatan taraf Menteri tidak lagi menerima jawatan Menteri kerana terpalit dengan kerajaan gagal sebelum ini. Itu baru berjiwa besar namanya,” katanya.

Sementara itu dalam satu lagi hantaran terdahulu, beliau berharap bekas Perdana Menteri itu hanya menumpukan fokus kepada memerangi Covid-19 sahaja.

“Apa pun rakyat masih tertunggu tunggu apa ‘term of reference’ Majlis ini. Apakah ia ada kuasa eksekutif? Harap PM jelaskan segera kekaburan ini.

“Sepatutnya Majlis ini fokus kepada memerangi Covid-19 sahaja. Semoga Muhyiddin boleh bekerja dengan KJ. Jangan ada ego pula sesama mereka. Soal ekonomi dan kesejahteraan rakyat biar pihak lain yang buat kerja. Banyak sangat kerja pun takut ‘gagal’ lagi,” sindirnya.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, dalam satu kenyataan Sabtu lalu, memaklumkan Muhyiddin dilantik sebagai Pengerusi MPN yang bertaraf Menteri.

Beliau yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, berkata keputusan itu dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 1 September lalu dan telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, pelantikan itu dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here