Azeez belum lagi bebas – SPRM

0
2

AHLI Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, masih belum bebas daripada 13 pertuduhan membabitkan rasuah dan pengubahan wang haram.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini, menegaskan pihak mahkamah belum membuat sebarang keputusan mengenai kes berkenaan.

SPRM merujuk kenyataan dibuat peguambela bekas Pengerusi Tabung Haji (TH) terbabit, iaitu Amer Hamzah Arshad yang berhujah di Mahkamah Rayuan semalam.

“Peguambela berhujah bahawa analisis laporan kewangan oleh SPRM sebelum ini membebaskan anak guamnya daripada dakwaan rasuah.

“SPRM ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut hanya hujahan dan belum diputuskan oleh mahkamah,” menurut kenyataan itu.

Menurut SPRM, Abdul Azeez sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

“Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu menolak permohonannya untuk membatalkan kesemua tuduhan tersebut.

“Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan itu kemudiannya didengar di Mahkamah Rayuan semalam.

“Susulan itu, laporan media yang memetik hujahan tersebut seolah-olah menggambarkan Abdul Azeez telah bebas kesemua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sedangkan mahkamah belum membuat keputusan berhubung kes berkenaan,” katanya.

SPRM berharap orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kes tersebut yang masih dalam perbicaraan sebelum mahkamah mendengar hujah balasan pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam Abdul Azeez pada 6 Oktober depan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here