MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa semua pertuduhan terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya satu bentuk penindasan berlebihan.
Kes bekas Timbalan Perdana Menteri itu sepatutnya digugurkan, kata peguamnya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Menurutnya, Ahmad Zahid sepatutnya menerima imuniti dalam kes yang dihadapinya kerana mendedahkan semua maklumat berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Dakwa Hisyam Teh, pendakwaan sebenarnya tidak bersikap adil dengan pendakwaan sehingga 47 pertuduhan dibuat terhadap anak guamnya itu.
Beliau berkata demikian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah pada hujahan akhir melibatkan pertuduhan pecah amanah, rasuah dan juga penggubahan wang haram membabitkan berpuluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
“Sekiranya berpandukan kepada tuduhan rasuah dan Akta Pencegahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001, sepatutnya anak guam saya tidak perlu diadili.
“Pendakwaan juga melakukan ketidakadilan prosedur dan melanggar Seksyen 51A (1) ( c ) Kanun Tatacara Jenayah.
“Pendakwaan sebenarnya boleh jumpa pelbagai bukti yang memihak kepada tertuduh, jika hendak diberikan contoh memang banyak. Antaranya, sebanyak 31 cek dengan caj pengubahan wang haram adalah dicop.
“Ia tidak ditandatangani secara peribadi oleh tertuduh. Juga penderma yang telah memberikan sumbangan dan telah mendedahkan ia untuk tujuan amal serta keagamaan,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.
Menurutnya, maklumat didedahkan oleh tertuduh memberikan kekebalan kepada tertuduh dari pendakwaan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Sub-seksyen 30 (7) Akta SPRM.
Hisyam Teh juga memberitahu sepatutnya Ahmad Zahid diberikan iminuti kerana telah memberikan kerjasama penuh sejak awal penyiasatan dengan mendedahkan semua maklumat transaksi Yayasan miliknya sendiri.
Sebaliknya, hak itu cuba dinafikan pasukan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid selama ini.
“Anak guam saya telah diadili secara berlebihan sedangkan tiada keperluan bertindak sedemikian. Tidak ada bukti prima facie, apalagi bukti yang banyak seperti yang dihujahkan.
“Atas semua faktor-faktor yang telah saya hujahkan sepatutnya semua pertuduhan ini perlulah digugurkan,” tegasnya.
Prosiding akan bersambung esok pagi.
Ketika ini, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berhadapan dengan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. – Malaysiapost

