JAS tahan, henti operasi kilang disyaki terlibat cemar Sungai Semenyih

0
2
Tuan Ibrahim Tuan Man

JABATAN Alam Sekitar (JAS) telah mengambil tindakan terhadap kilang yang dipercayai terlibat dengan pencemaran bau di Sungai Semenyih baru-baru ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihak JAS telah menahan operasi kilang terbabit selain proses pengeluaran di premis berkenaan turut dihentikan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 25 (1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pula membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 121(1)(C) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) iaitu kesalahan pencemaran terhadap sumber air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, beliau dilaporkan berkata, JAS telah mengesan beberapa parameter ketika mengukur kualiti udara di sebuah kilang yang disyaki melepaskan efluen atau sisa buangan ke saliran awam yang dipercayai mengakibatkan pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Katanya, JAS juga akan melakukan Penahanan Operasi Kelengkapan termasuk menahan beberapa orang yang disyaki untuk siasatan lanjut.

Kelmarin, Air Selangor memaklumkan, berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual di 463 kawasan di Selangor berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, dihenti tugas akibat insiden pencemaran bau. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here