USAHA mengekang kemiskinan bandar dan meringankan beban golongan rentan seperti bantuan tunai termasuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan terus diberi tumpuan dalam Belanjawan 20220.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz bagi memastikan mereka yang terjejas khususnya akibat pandemik Covid-19 akan terus menerima bantuan.
Beliau berkata kerajaan memahami pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada kehidupan dan mata pencarian rakyat terutamanya mereka dari kalangan B40 dan miskin tegar.
“Sejak bermulanya pandemik Covid-19, kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif di bawah pakej-pakej rangsangan dan bantuan ekonomi serta Belanjawan 2021 khusus bagi mengekang kemiskinan bandar.
“Ia juga bagi meringankan beban golongan rentan seperti bantuan tunai (BPN dan BPR), Program Subsidi Upah, Program Bakul Makanan dan Program Pengambilan Pekerjaan.
“Inisiatif seperti ini akan diberi penekanan di dalam #Bajet2022 bagi memastikan mereka yang terjejas mendapat bantuan dari pelbagai aspek demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.⠀
⠀
Terdahulu beliau mengadakan perbincangan bersama Yayasan Hasanah serta pelbagai Yasasan di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengenai aspek kehidupan dan mata pencarian dalam Belanjawan 2022. – Malaysiapost

