PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikannya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Beliau berkata, pelantikan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai suatu kesinambungan tugasan yang telah dimulakan oleh Muhyiddin, sesuai dengan pengalamannya dalam menangani pandemik Covid-19.
“Semoga gandingan beliau bersama Perdana Menteri mengharapkan segala usaha dan perancangan memulihkan negara berjalan lancar, demi menjamin kelangsungan hidup dan kestabilan ekonomi rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara yang bertaraf menteri.
Katanya, keputusan pelantikan Muhyiddin dibuat oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 1 September lalu.
Mohd Zuki yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, berkata pelantikan itu telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – Malaysiapost

