POLIS menahan seorang wanita berusia 39 tahun yang merupakan ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) di Shah Alam, awal pagi ini.
Wanita itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang melakukan serbuan di rumahnya kira-kira jam 1.10 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata pihaknya menerima enam laporan polis berkaitan isu ajaran sesat itu yang dibuat di lima balai Polis berasingan.
Beliau berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama, sekeping kad bank, sekeping resit pemindahan wang ke sebuah akaun bank tempatan sebanyak RM 84,721.42.
“Selain itu, kita turut merampas sepasang telekung warna putih dipercayai digunakan oleh suspek semasa membuat Live Facebook,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, permohonan reman empat hari ke atas suspek dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Wanita itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Anuar berkata, sebelum tangkapan dijalankan suspek ada membuat laporan polis menafikan mewujudkan kumpulan ajaran sesat atau yang bertentangan dengan ajaran Islam.
“Laporan berkenaan suspek menafikan semua tuduhan termasuk tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Anuar menjelaskan siasatan ke atas wanita itu dibuat selepas polis menerima laporan berkaitan video yang mengandungi kenyataannya menghina agama Islam sekali gus menimbulkan keresahan awam.
“Pengadu mendakwa melihat video di Youtube bertajuk “Mimpi Perang Dunia (Bertemu Rasulullah) menerusi akaun Youtube Cahaya Islam memaparkan seorang wanita bercakap mengenai mimpi kejadian Perang Dunia Ketiga yang akan berlaku di Sabah.
“Video ini berdurasi 1 jam 11 minit 3 saat telah dimuatnaik pada 30 Januari 2021 menerusi Youtube dan mendapat 50,000 tontonan, 908 likes, 97 dislikes dan 511 komen. Cahaya Islam kini direkodkan mempunyai 2380 langganan,” katanya.
Anuar menjelaskan pengadu berkenaan turut membuat carian di Facebook dan mendapati wanita tersebut mengaku sebagai Ketua Ajaran PMYT.
“Wanita itu juga aktif memuat naik video di Facebook dan YouTube menceritakan perihal peperangan Dunia Ketiga di laman sosial.
“Hasil siasatan awal Polis melalui keterangan pengadu mendapati wanita ini mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah SWT, Malaikat dan Nabi Muhammad SAW,” katanya.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, wanita berkenaan ini juga mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat yang lain.
“Dalam video ini juga menyatakan sesiapa yang menyakiti atau menghalang dirinya menyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh Allah SWT.
“Kenyataan dalam video ini boleh dianggap menghina kesucian agama Islam dan menimbulkan keresahan awam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan kes ini. – Malaysiapost

