PMYT akan diwartakan ajaran sesat

0
1

AJARAN ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ (PMYT) yang dipelopori wanita dikenali sebagai Sittah Annur, akan diwartakan sebagai sesat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata pihaknya akan berbincang dengan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama (MKI) dalam usaha untuk mewartakan perkara itu.

Ahmad Marzuk berkata, pihaknya akan memanggil wanita terbabit dan pengikutnya untuk mengetahui sama ada ajaran mereka menyeleweng atau tidak.

Katanya, namun tindakan lanjut terhadap ajaran terbabit tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri kerana ia adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Denda dan hukuman tidak sama untuk setiap negeri. Walau apa pun, kita tetap memandang serius perkara ini.

“Sekarang ini, soal keselamatan perlu diberi keutamaan dan mereka yang terbabit serta pengikutnya akan dikenakan tindakan bersesuaian mengikut bidang kuasa di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya memetik laporan Berita Harian.

Ahmad Marzuk berkata, Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) setakat ini sedia maklum dengan gerakan ajaran itu menyerahkan kepada PDRM membuat siasatan.

“Siasatan sudah dijalankan dan buat masa ini jumlah pengikut ajaran ini belum diterima secara tepat daripada pihak Bukit Aman.

“Susulan daripada penyiasatan itu nanti, kami akan melihat apa ruang yang boleh dibantu bagi menyelesaikannya kerana ia membabitkan dua isu utama iaitu terbabit dengan ajaran sesat dan juga keselamatan negara,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, polis menahan seorang wanita berusia 39 tahun yang merupakan ketua ajaran PMYT di Shah Alam, awal pagi ini.

Wanita itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang melakukan serbuan di rumahnya kira-kira jam 1.10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata pihaknya menerima enam laporan polis berkaitan isu ajaran sesat itu yang dibuat di lima balai Polis berasingan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here