BEKALAN air di kesemua 463 kawasan yang terjejas berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih dijangka akan pulih sepenuhnya bermula jam 6 pagi Isnin ini.
Air Selangor, dalam satu kenyataan di laman Facebooknya memaklumkan, bekalan air ke kawasan berkenaan akan mula disalurkan secara berperingkat bermula jam 6 petang, hari ini.
Menurut kenyataan itu, usaha sedang dilaksanakan bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.
“Sebanyak 94 lori tangki air telah digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas dan premis-premis kritikal sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
“Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes Covid-19,” menurut kenyataan itu.
Air Selangor juga akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi rasmi kami iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
“Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
“Para pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor,” katanya.
Kesemua kawasan yang terjejas adalah sama seperti senarai kawasan gangguan air tidak berjadual baru-baru ini iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan). – Malaysiapost

