SEPERTI yang dijangka, atlet paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi berjaya mara ke final acara 100 meter (m) lelaki T36 (cerebral palsy) selepas melepasi saringan pada Temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sebentar tadi.
Mohamad Ridzuan mencatat masa 12.06 saat (s) selepas mengenepikan cabaran atlet China, Yang Yifei yang menamatkan saingan pada kedudukan kedua terpantas (12.10s).
Pelari dari Jawatankuasa Olimpik Rusia (PRC), Evgenii Shvetsov meraih tempat ketiga dengan 12.26s.
Pada aksi final esok, pelari yang turut dikenali dengan panggilan mesranya ‘Dek Wan’ dijangka bakal berdepan saingan pelari dari Australia, James Turner, Peicheng Deng (China) dan juga Alexis Sebastian Chavez (Argentina).
Mohamad Ridzuan sebelum ini mencipta sejarah apabila menyumbang pingat emas pertama negara dalam Temasya Sukan Paralimpik Rio 2016 dengan catatan 12.07s sekali gus memadam rekod terdahulu milik Roman Pavlyk dari Ukraine iaitu 12.25s di Beijing 2008. – Malaysiapost

