
Nurul Huda Abhar
TIDAK sampai 48 jam menarik nafas lega selepas bekalan air pulih, penduduk di 463 kawasan di lima wilayah sekali lagi terpaksa berdepan dengan masalah sama akibat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya jam 5.15 petang tadi.
Air Selangor menerusi kenyataan di Facebooknya, berkata LRA berkenaan terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.
“Henti tugas ini dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 463 kawasan di lima (5) wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).
“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi rasmi kami iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram dan laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/,” kata hantaran itu hari ini.
Semalam, Air Selangor menerusi satu kenyataan memaklumkan semua 463 kawasan yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran henti tugas LRA Sungai Semenyih telah menerima bekalan air bersih sepenuhnya jam 6 pagi.
Terdahulu, LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas pada Selasa lalu selepas berlaku pencemaran bau yang dikesan itu membabitkan Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir. – Malaysiapost
