KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 90 peratus katil unit rawatan rapi (ICU) digunakan di hospital Covid-19 di seluruh negara setakat semalam.
Beliau berkata, kadar penggunaan katil ICU di negeri Sabah adalah paling tinggi sehingga sehingga melebihi kapasiti, iaitu sebanyak 126 peratus.
Berdasarkan data yang dikongsikan di Facebook, penggunaan katil ICU di Kedah dan Perak juga melebihi kapasiti, iaitu masing-masing sebanyak 121 dan 107 peratus.
Ketiga-tiga negeri tersebut merupakan antara negeri mencatatkan kadar vaksinasi paling rendah, dengan hanya 40.8 peratus populasi dewasa di Sabah yang telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 setakat semalam, manakala Kedah (47.1 peratus) dan Perak (48.4 peratus).
Sementara itu, kadar penggunaan katil bukan ICU di hospital-hospital Covid-19 di seluruh negara pula berada pada 78 peratus.
Di Selangor pula, penggunaan katil ICU masih kekal tinggi dengan 99 peratus, manakala Kuala Lumpur (77 peratus).
Kelantan turut merekodkan penggunaan katil ICU sebanyak 99 peratus, diikuti Pulau Pinang (96 peratus), Johor (95 peratus) dan Melaka (80 peratus).
Sementara itu, kadar penggunaan katil bukan ICU di hospital Covid-19 pula tertinggi di Pulau Pinang iaitu sebanyak 117 peratus, diikuti Perlis (102 peratus) dan Johor (101 peratus).
Terdahulu, menerusi kes harian Covid-19 hari ini, lima negeri merekodkan jangkitan baharu mencecah empat angka iaitu tertinggi di Selangor (4,073), diikuti Sarawak (2,992), Kedah (2,455), Sabah (2,329), Johor (2,145) dan Pulau Pinang (1,600). – Malaysiapost

