Mayat dipercayai anggota tentera ditemui

0
2

SATU mayat lengkap berpakaian ditemui di Sungai Pahang berhampiran Kampung Serengkam, Maran pada jam 8.15 pagi tadi.

Mayat itu kemungkinan anggota tentera yang terjatuh semasa Eksais Para Predator di perairan Sungai Pahang Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Shamsudin mengesahkan menerima maklumat penemuan mayat tersebut oleh penduduk kampung.

“Polis menerima maklumat mayat ditemui sekitar jam 8.15 pagi oleh orang kampung.

“Proses pengecaman mayat masih dilakukan dan polis masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya seperti dilaporkan Malaysiagazette, hari ini.

Ahad lalu, media melaporkan anggota tentera dari 10 Briged Para, Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa dipercayai terjatuh semasa latihan Eksais Para Predator Siri 1/2021 di perairan Sungai Pahang.

Operasi mencari dan menyelamat bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Pahang telah dilaksanakan dan memasuki hari ketiga hari ini.

Semalam Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mencemar duli apabila baginda menaiki bot dalam keadaan hujan bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Mangsa merupakan anggota tinjau dari pasukan Kompeni PANDURA (Para) yang pada hari kejadian melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberang. – Malaysiapost

Kredit Foto: ATM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here