KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi fokus menangani kes pesakit Covid-19 ‘brought in dead’ (BID) yang hanya mengambil masa 24 jam untuk bertukar status dari kategori satu dan dua ke kategori lima.
Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, KKM ketika ini memberi penekanan dan fokus segera untuk mengurangkan kes BID.
“Kita dapati sebahagian daripada yang dilapor kes BID adalah mereka pada awalnya berada dalam kategori satu dan dua tetapi dalam tempoh singkat masuk ke kategori lima.
“Kita dapati beberapa kes BID berlaku sangat cepat iaitu dalam tempoh 24 jam saja,” katanya dalam sidang media perkembangan harian Covid-19, hari ini.
Menurut Khairy, kawalan kendiri perlu dilaksanakan dan mereka yang mengalami kemerosotan kesihatan tanpa sebarang gejala perlu mendapatkan rawatan segera di hospital.
“Bagi mereka yang diuji positif, kuarantin di rumah, tiada simptom atau hanya gejala ringan perlu sentiasa peka dengan kesihatan diri.
“Antaranya demam berpanjangan, kesukaran bernafas, sakit dada, tiada selera makan dan minum, kelesuan bertambah teruk, perubahan status mental seperti kurang tahap sedar, kekeliruan, batuk, muntah, cirit birit yang semakin teruk, kurang kecing, bibir atau jari kebiruan serta ketepuan oksigen kurang 95 peratus diminta segera menghubungi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) segera atau talian kecemasan 999,” katanya,
Khairy menambah, isu BID akan disentuh beberapa hari lagi dengan data lengkap merangkumi dari mana BID datang, kumpulan usia, komorbiditi dan mempunyai sejarah vaksin atau tidak. – Malaysiapost

