Tuduhan PH kerajaan PN gagal satu pembohongan – Abdul Hadi

0
1
KUALA TERENGGANU 26 JANUARI 2019. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang semasa sidang media selepas menyampaikan Ucaputama dan Perasmian Program Simposium Seni & Hiburan Menurut Islam anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) di Dewan Teater, PPAT, Padang Hiliran. NSTP/IMRAN MAKHZAN

TUDUHAN Pakatan Harapan (PH) bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah kerajaan yang gagal membenteras Covid-19 adalah satu pembohongan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tugas Kerajaan PN dalam menyelesaikan pandemik ini sebenarnya masih belum selesai.

“Adapun tuduhan PH bahawa kerajaan PN telah gagal merupakan suatu pembohongan kerana tugas yang dipikul belum lagi selesai dan kerjanya masih dalam perjalanan. Sepatutnya mereka tunggu sehingga masa penamatnya.

“Khusus kepada barisan Kabinet kerajaan yang akan menyambung tugas, ingatlah satu pepatah Arab pernah menyebutkan: “Biarkan anjing dan serigala menyalak, namun perjalanan musafir hendaklah diteruskan.” kata Abdul Hadi di Facebook, hari ini.

Abdul Hadi yang juga bekas duta timur tengah bertaraf menteri berkata, kerakusan untuk berkuasa semula menjadi faktor PH menolak tawaran kerjasama yang dihulurkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Katanya, meskipun agak terlewat, namun pembangkang menerima juga tawaran yang sama diberikan oleh Perdana Menteri ke-9 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

“Tindakan tersebut adalah suatu langkah yang sangat bertanggungjawab demi rakyat dahulu diselamatkan, sebelum menunaikan kegelojohan ahli politik.

“Satu keadaan yang sangat positif kepada Kabinet baharu dan jentera kerajaan dalam menjalankan tugas, dengan harapan tiada lagi sebarang gangguan daripada PH yang tidak sabar menunggu Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang itu menasihatkan agar kerajaan pimpinan Ismail Sabri mendengar dan menerima pandangan serta kritikan yang membina daripada semua pihak.

Beliau berkata, kerajaan perlu melibatkan badan bukan kerajaan dan parti pembangkang bagi mempercepatkan proses melandaikan graf virus Covid-19.

Abdul Hadi berkata, mereka yang menjadi mangsa wabak Covid-19 tidak mengenal sama ada pihak kerajaan mahu pun pembangkang.

“Jadikan pembangkang sebagai pembangkang yang menasihat, bukannya menggugat tanggungjawab untuk menyelamatkan rakyat dan negara.

“Jadikan urusan ini laksana berada dalam satu bahtera yang sama dalam menghadapi gelombang lautan yang mengganas.

“Sekiranya semuanya selamat, kita semua selamat bersama. Dan sebaliknya jika tenggelam, maka semuanya tenggelam bersama juga,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here